Saturday, August 6, 2011

IJTIMAK PENGKULIAH UMUMI NEGERI KEDAH & MAJLIS BERBUKA PUASA

06 Ogos 2011, Alor Setar - Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah bersama Lajnah Tarbiah PAS Kedah dan Unit Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) telah berjaya mengadakan Ijtimak Pengkuliah Umumi Negeri Kedah & Majlis Berbuka Puasa di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Program ini merupakan cetusan dari YAB Dato Seri Menteri Besar dalam menghimpun pengkuliah-pengkuliah umumi di seluruh Kedah. Dengan perolehan maklumat guru takmir dan pengkuliah umumi daripada Majlis Agama dan pelbagai institusi yang berkenaan, telah berjaya dihantar kad jemputan sebanyak 730 keping kepada seluruh pengkuliah umumi di Kedah.

Antara hasrat Kerajaan Negeri dalam mengadakan Ijtimak Pengkuliah Umumi :
a) Menghimpun pengkuliah umumi dalam merialisasikan Kedah Sejahtera
b) Mewujudkan gedung ilmu yang lebih meluas diseluruh Kedah
c) Merapatkan hubungan yang kukuh antara pengkuliah umumi dan pihak kerajaan negeri

Program bermula dengan pendaftaran pada jam 3.45 petang hingga 4.45 petang, disulami dengan tayangan skrin kepada tetamu oleh Urusetia Penerangan Negeri dan sedikit penerangan ringkas program oleh pihak Unit HESA. Selepas itu, semua pengkuliah bergerak ke surau untuk menunaikan solat asar berjamaah.

Tepat jam 5.00 petang, Al-Fadhil Ustaz Ahmad bin Yahaya, Pengarah Program tiba diperkarangan Dewan Seri Mentaloon, disusuli lima minit kemudian ketibaan Ybhg Sohibus Samahah, Dato Paduka Syeikh Hj Baderuddin bin Hj Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Pada jam 5.20 petang, ucapan dan tazkirah kepada pengkuliah umumi disampaikan oleh Dato Paduka Mufti Kerajaan Negeri. Banyak perkongsian yang telah dicurahkan oleh Dato dalam ucapan beliau. Antaranya, Dato melihat bahawasanya pengkuliah umumi ini perlu memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang ajaran Islam kepada masyarakat setempat. Disamping itu, Dato Mufti juga menyelar tindakan pengikut ajaran Syiah yang sentiasa melakukan sesuatu untuk menyesatkan ummat Islam di Kedah.

Pada jam 6.15 petang, Dato Paduka Mufti mengakhiri ucapan beliau dengan berpesan bahawasanya pengkuliah umumi merupakan pewaris nabi. Disamping itu, perlu dididik anak muda untuk mewarisi golongan amilin yang ada pada hari ini.

Selepas kepulangan Dato Paduka Mufti, sementara menunggu ketibaan YB Dato Ir Hj Phahrolrazi Zawawi, Urusetia Penerangan menayangkan beberapa video untuk tatapan para tetamu.

Pada jam 6.40 petang, ketibaan YB Dr Ismail Salleh disambut mesra oleh AJK Program dan disusuli selepas itu, Dato Ir Hj Phahrolrazi tiba diperkarangan Dewan Seri Mentaloon bersama isteri. Kemudian, YB Dato Phahrolrazi, Dr Ismail diringi ke pentas utama oleh Ybhg Ustaz Ahmad Yahaya untuk sesi ucapan perasmian.

Dalam ucapan aluan Pengarah Program, Ustaz Ahmad Yahaya mengucapkan jutaan terima kasih diatas kesudian seluruh pengkuliah umumi menghadirkan diri ke program ini. 

Seterusnya, ucapan Dato Phahrolrazi menyentuh beberapa perkara tentang perkembangan Kerajaan Negeri. Beliau yang mewakili YAB Dato Seri MB menyampaikan salam dari MB dan memohon agar semua para hadirin mendoakan kesejahteraan Ustaz Azizan kembali sihat dan dapat melaksanakan tugas kembali.

Selepas ucapan Dato Phahrolrazi, bacaan doa oleh Ybhg Ustaz Hj Aminuddin bin Hj Abd Rahim, Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri. Selepas itu, para hadirin dijemput ke meja jamuan untuk persiapan berbuka puasa. Para hadirin bersurai selepas solat maghrib.

No comments:

Post a Comment