Wednesday, August 3, 2011

YAB Dato Seri Ustaz Azizan bin Abd Razak Semakin Pulih

Kesihatan YAB Dato Seri Ustaz Haji Azizan bin Abd Razak yang dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjalani rawatan serta pemeriksaan jantung dilaporkan semakin pulih dan stabil.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada YAB Dato Seri, Sdr Mohd Helmi bin Khalid, kesihatan Ustaz berada dalam keadaan stabil dan tidak perlu dibimbangi.

Mohd Helmi juga berkata, pihaknya bagaimanapun tidak pasti bila Ustaz akan dibenarkan keluar.

YAB Dato Seri dimasukkan ke IJN setelah dinasihatkan oleh doktor di Kedah Medical Centre Alor Setar untuk menjalani pemeriksaan disana.

Dalam pada itu, kenyataan isteri kepada YAB Dato Seri Ustaz Azizan, Tok Puan Faikah Syeikh Hamzah dalam Sinar Harian bertarikh 3 Ogos 2011 berkata, berbanding hari pertama ketika Ustaz dimasukkan ke IJN, keadaan Ustaz amat lesu tetapi kini sudah ada selera makan.

Menurutnya juga, Ustaz Azizan, 67, dipercayai mengalami keletihan berikutan terlalu banyak memikirkan soal pentadbiran dan tidak pernah mengambil cuti sejak setahun yang lalu.

"Ustaz dimasukkan ke IJN bukan kerana serangan jantung, sebaliknya ada temujanji untuk pemeriksaan kesihatan lanjutan dengan pakar. Setakat ni, ustaz tidak mengalami masalah kesihatan lain, selain penyakit kencing manis dan jantung, "katanya.

Tok Puan Faikah berkata, Ustaz dilihat bersemangat kental untuk melawan penyakitnya itu dan tidak pernah berputus asa.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Politik YAB Dato Seri, Tuan Haji Muhammmad Sanusi Md Nor dalam kenyataan dalam Sinar Harian berkata, MB terpaksa menukar rutin harian tidur  kerana terlalu letih.

"Kebelakangan ini, Ustaz tidur selepas Maghrib, hingga jam 9.30 atau 10 malam, kemudian Ustaz akan memanggil saya ke rumah untuk berbincang pelbagai perkara.

Menurutnya, keadaan fizikal Ustaz kelihatan terlalu letih dan tidak menafikan beliau seorang pemimpin yang kuat kerja dan enggan bercuti walaupun untuk berehat.

Muhammad Sanusi turut berkongsi kata-kata Ustaz sebelum beliau dimasukkan ke IJN, apabila disuruh berehat sekejap.

"Laaaa...aku nak rehat lagu mana? Hang tak nampak kerja kita bertimbun tu...., kata Sanusi menceritakan semula reaksi Ustaz Azizan.

Ketika berada di IJN, Ustaz Azizan turut dikunjungi Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah, Tuanku Haminah Hamidun.


Walaupun berbeza politik, namun YAB Dato Seri Ustaz tetap mengagahkan dirinya menyambut ketibaan PM di Kepala Batas,
(gambar sebelum beliau dimasukkan ke IJN)

No comments:

Post a Comment